SEKOLAH AGAMA TIDAK KETINGGALAN MENGHAYATI IT

Usaha mengembang dan menerapkan ilmu pengetahuan berdasarkan teknologi maklumat (IT) tidak terhad di sekolah rendah dan menengah sahaja malah ia turut merangkumi sekolah agama rakyat dan negeri yang terdapat di seluruh negara.

Hasrat kerajaan dalam pembangunan sekolah agama itu direalisasikan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan Berhad (Yayasan Taqwa) yang bersetuju memperuntukkan hampir RM 1 juta melalui Program Bina Taqwa - Pendidikan.

Peruntukkan wang yang diambil dari pungutan zakat itu digunakan bagi perbelanjaan membeli peralatan komputer peribadi PC) dan pencetek warna untuk didermakan kepada 201 buah sekolah agama di seluruh negara.

Majlis penyerahan diadakan di Kuala Lumpur oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman, merangkap Pengerusi Yayasan Taqwa kepada wakil Majlis Agama Islam setiap negeri dan wakil sekolah agama di Wilayah Persekutuan.

 Katanya, matlamat utama program ialah supaya pelajar di sekolah agama turut dapat menggunakan komputer bagi tujuan pembelajaran dan pengurusan di samping meningkatkan kadar celik komputer di kalangan masyarakat Islam negara ini, terutama generasi muda.

"Saya berharap penyerahan komputer multimedia ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar untuk memenuhi hasrat kerajaan membangunkan sekolah agama selari dengan sekolah biasa," tambahnya.

"Perjalanan sekolah agama mestilah terkini dan pengetahuan atau kemahiran berkomputer harus sampai di semua tahap pendidikan sekolah agama di samping proses pengurusan dilakukan dengan lebih cekap di kalangan guru dan pentadbir," katanya lagi.

Kurikulumnya juga ditambah dengan memasukkan kemahiran komputer dalam pendidikan sekolah agama bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam era maklumat global, terutamanya dengan adanya projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

Buat masa ini sebuah sekolah agama hanya diperuntukkan sebuah komputer peribadi dan sebuah pencetak warna sementara pihaknya sedang berusaha untuk menambahkan lagi sumbangan, kata Hamid lagi.

Dari segi tenaga pengajar, guru atau ustaz perlu mempunyai pengetahuan berkomputer dan sedang merancang unutk mengadakan program laithan kepada mereka supaya ianya berjalan lancar.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi Pusat Pungutan Zakat(PPZ), Datuk Haji Abdul Rahim Abu Bakar dan beberapa pegawai kanannya serta pegawai kanan Yayasan Taqwa dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Petikan daripada: Akhbar Berita Harian Komputer(1998) Karya: Husain Jahit